Kemboja 2008 II

Sekali lagi, pelajar dan kakitanan UIA akan berkampung di Kemboja. Jikalau April yang lalu mereka ke Dam Sbai, kali ini mereka akan ke Phnom Penh.

Detailnya boleh dibaca lanjut di sini.

Artikel dalam i-Remaja September 2008

Artikel mengenai aktiviti khidmat masyarakat telah diterbitkan di dalam Majalah i-Remaja keluaran Berita Publishing.

Muka depan iremaja kali ini ialah Sharifah Amani.

Artikel ‘Pelajar UIAM di Kemboja’ telah ditulis oleh Mohd. Roslan Md Isa. Boleh dibaca di halaman 68.

Kemboja: Merentas Masa, Mensyukuri Rahmat

Ayah selalu menceritakan jerih-perih kehidupan di kampung beberapa dekad yang lampau. Seperti sukarnya hendak berjumpa dengan doktor, apatah lagi doktor yang beragama Islam. Jika tiada duit, tidak akan ke sekolah. Hendak ke sekolah pula payah, perlu merentas sungai dengan sampan kemudian naik pula bas yang sempit dan uzur. Jalan pula tidak licin bertar, sebaliknya sekadar dilitupi tanah merah.

Bagi generasi yang hidup dalam aspirasi mencapai negara maju, itu semua bagai satu dongengan. Lebih-lebih lagi ‘keyboard monkey’ seperti saya, hampir sepanjang masa di alam siber. Urusan belajar, bersosial, kerja dan transaksi semuanya berlaku pantas sekelip mata.

Cerita-cerita kesusahan itu tersemat dalam minda saya hanyalah sebagai maklumat sejarah, tidak lebih daripada itu. Sehinggalah saya mendapati diri saya berada di bumi Kemboja selama seminggu bersama pasukan CENSERVE UIAM dalam sebuah misi amal.

Disapa Debu

Lapangan Terbang Antarabangsa Siem Reap boleh dianggap setanding dengan Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi. Agak kecil dari segi saiz, tetapi mewah tentang hiasan. Namun itu hanyalah topeng yang menutup realiti bumi Kemboja.

Destinasi misi kami adalah di wilayah Battambang, empat jam perjalanan dari Siem Reap. Sebelum bertolak ke sana, kami mengalas perut di restoran D’Wau milik rakyat Malaysia di Siem Reap. Turun dari bas, debu dari jalan sudah menyapa muka.

Usai makan tengah hari, bas mula menerjah jalan raya yang secara drastik berubah wajah. Daripada lebuhraya bertar kepada jalan tanah merah dua lorong. Sawah padi yang kering kontang pula terhampar di kiri kanan jalan, sesekali dihiasi oleh rumah tradisional Kemboja.

Sungguhpun dalam bas yang berhawa dingin, debu-debu tetap terbang masuk. Debu-debu itu seakan begitu bersungguh mahu mengakrabi kami yang bertandang ke bumi ini. Saya dan rakan-rakan mula terbatuk-batuk. Tetapi apabila kami melihat di sisi, trak-trak yang membawa penumpang menginsafkan kami.

Sekitar sepuluh orang dewas berhimpit di belakang setiap trak pikap tersebut. Antara mereka pula terselit anak-anak kecil mereka, kadang-kadang anjing peliharaan. Wajah mereka tetap tenang menempuh awan debu dan terik mentari tanpa sebarang perlindungan.

Ya, kini aku percaya aku sudah kembali ke zaman ayahku membesar. Mungkin lebih ke belakang daripada itu.

Air Itu Rahmat

Kami berkampung di desa Dam Sbai, sekitar sepuluh minit dari bandar Battambang. Para peserta wanita menginap di rumah hos kami Hj. Musa sedang kami menginap di Masjid Dhiauddin yang terletak di sebelah. Hj. Musa juga merupakan imam di masjid tersebut. Sebatang sungai yang mengalir lesu terletak di belakang masjid.

Dengan sekali imbas, kepentingan sungai itu sudah mula terserlah. Sebuah pam kelihatan tidak berhenti menyedut air. Mata saya menuruti paip tersebut hingga ke tandas dan tempat wuduk yang kami gunakan. Kanak-kanak kelihatan sedang bermandi-manda di dalam sungai sedang seorang ibu sedang membasuh kain di tebingnya. Sampan pula membawa penumpang ke kampung seberang.

Saya dan rakan-rakan ke gigi air, mahu melihat sungai dengan lebih dekat. Warna keruhnya mula menggugat rencana kami untuk mandi di sungai. Apabila melihat sampah berserakan di sepanjang tebing sungai, kami tambah ragu. Sudahnya, bau yang kurang enak dari sungai itu memadamkan terus niat kami.

Apabila membuka paip untuk mengambil wuduk, ternyata airnya keruh. Bau yang mengganggu turut mengganggu tetapi sudah sedikit kurang. Kami tawakkal sahaja menggunakan air tersebut, itulah air terbaik yang dapat kami gunakan di sini. Pada masa ini baru terasa betapa nikmatnya air paip jernih dan bersih yang sentiasa mengalir di Malaysia.

Apabila sudah berkeringat dek bekerja di bawah mentari, baru terasa betapa mewahnya dapat minum terus daripada water cooler di universti. Di Kemboja ini, kami terpaksa bergantung kepada bekalan air reverse-osmosis yang dibotolkan. Ya, ‘air mineral’ yang dianggap murahan di Malaysia itu menjadi pergantungan kami.

Pesta Khatan

Misi pertama kami adalah ke Masjid Muhammadi yang terletak di seberang Masjid Dhiauddin. Kerana mahu membawa barang yang banyak, kami tidak menaiki sampan tetapi menaiki trak pikap untuk ke sana. Merasalah kami menaiki kenderaan seperti penduduk tempatan. Tetapi itupun masih dikira mewah kerana kami tidak menyumbat diri kami sebegitu ramai dan kenderaan kami itu masih baru. Anehnya, Toyota Hilux yang kami naiki itu tiada nombor pendaftaran.

Pasukan perubatan telah tiba lebih awal untuk menyiapkan tempat untuk mengkhatankan kanak-kanak. Tugasku pula adalah untuk memasang tayangan video menggunakan komputer riba dan projektor. Sambil melakukan tugas itu aku teringat karikatur Dato’ Lat tentang Jabatan Penerangan datang ke kampung-kampung menayangkan wayang gambar pada satu masa dahulu.

Apa tujuannya? Tayangan video itu adalah untuk menarik perhatian kanak-kanak yang mengerumuni segenap Masjid Muhammadi. Itu adalah perlu bagi mengurangkan gangguan kepada para doktor yang mengkhatankan kanak-kanak. Tempat pembedahan adalah terbuka maka sesiapa sahaja boleh berada di sisi meja bedah.

Kecil ataupun besar, tua ataupun muda, lelaki ataupun perempuan semuanya sibuk untuk melihat proses khatan dilakukan. Tirai kain yang diletakkan sudah tersingkap semuanya.

Tiada Gentar Hendak Berkhatan

Peluang untuk berkhatan secara percuma memang menjadi rebutan komuniti Muslim di sana. Siap sahaja seorang kanak-kanak dikhatankan, tiga lagi sudah melompat naik ke atas meja bedah. Itu satu fenomena yang mengejutkan tetapi kata Dr. Dinon, “Aku tak peduli, siapa naik aku potong. Pandai-pandai kamu semualah hendak bagi siapa dulu berkhatan.”

Syukur tidak timbul sebarang kekecohan atau pergaduhan. Anak-anak Kemboja memang cekal hatinya, amat sukar sekali untuk mendengar tangisan semasa berkhatan. Siap berkhatan, mereka sudah kembali bermain bersama rakan-rakan dan menaiki sampan.

Galau juga rasanya apabila terpaksa menolak permintaan mereka yang lebih dewasa untuk berkhatan. Secara amnya, peralatan yang dibawa hanya sesuai untuk mengkhatankan mereka yang berumur 12 tahun ke bawah sahaja. Operasi pula akan memakan banyak masa dan berisiko tinggi kalau jika hendak diteruskan juga

“Minta maaf banyak-banyak,” hanya ucapan itu yang mampu kami ucapkan. Kami hanya dapat memerhatikan wajah-wajah kecewa itu berlalu pergi. Ada yang 14 tahun, 17 tahun, malah ada yang menginjak 32 tahun!

Kami termenung seketika memikirkan perkara ini lantas bertanya kepada Hj. Musa yang singgah di tempat berkhatan.

“Hj. Musa, tidak adakah doktor atau tok mudim yang sanggup datang mengkhatankan anak-anak di kampung ini?”

“Memanglah ada tetapi perlu bayaran. Paling murah RM30. Sampai RM100 pun ada juga. Tetapi orang kampung ini miskin, anak-anak. RM30 itu sudah boleh buat belanja makan sekeluarga selama seminggu. Mana mampu untuk digunakan ke arah lain. Jadi, peluang seperti hari ni sangat berharga buat mereka.”

Mendengar jawapan itu kami terus terdiam, bagaimana dengan mereka yang kami terpaksa tolak permintaanya? Usia bukan semakin berkurang dan entah bila misi sebegini akan tiba lagi di kampung ini.

Nilai Sepasang Telekung dan Kain Pelekat

Melihat deretan kedai-kedai menjual tudung di ibu kota aku merasa tidak percaya apabila ibu menceritakan bahawa beberapa tahun sebelum aku lahir, ibu terpaksa menjahit tudung sendiri. Bukan kerana tidak mampu, tetapi tidak ada dijual.

Nah, di Kemboja ini aku dapat merasakan keadaan tersebut. Jangan kata hendak membeli tudung, hendak membeli telekung pun payah! Seorang rakan saya menukilkan bagaimana seorang wanita tua bernama Zainab mengucup sepasang telekung dan sehelai pelekat itu. Syukurnya umpama kami memberikan sumbangan yang tidak ternilai. Tidak henti kalimah alhamdulillah keluar dari bibirnya.

Makcik Zainab adalah potret nasib umat Islam di Kemboja. Berusia 75 tahun, dia tinggal bersama tujuh orang cucunya setelah anaknya meninggal dunia. Makcik Zainab mendapat wang hasil jualan ikan di pasar yang untungnya tidak seberapa.

Usah Ambil Mudah

Seperti kebiasaanya prosedur berkhatan, ubat penahan sakit akan diberikan kepada pesakit. Untuk menerangkan dos ubat tersebut, kami bergantung kepada nota yang ditulis oleh perantara. Kami unjukkan sahaja catatan tersebut kepada mereka.

Kebanyakannya angguk sahaja apabil ditunjukkan arahan tersebut tetapi tidak kurang juga yang mengaku tidak tahu membaca. Jika berlaku demikian terpaksalah kami melaung sahaja bertanya siapa yang tahu berbahasa Melayu. Perantara tangkap muat ini biasanya pernah bekerja di Malaysia.

Keadaan ini jelas bahawa kami masih tidak sepenuhnya menyelami realiti masyarakat di Kemboja. Maklumat asas bahawa masih ramai yang tidak tahu membaca tidak awas dalam minda kami. Semoga yang angguk kononnya faham itu bertanya kepada yang tahu, jika tidak khuatir mereka terlebih dos.

Jurang Yang Membesar

Sekali-sekala, bunyi telefon bimbit semasa SMS masuk menyentak diri memikirkan masa hadapan masyarakat Islam Kemboja. Bagi kita, teknologi komunikasi sudah menjadi sebahagian daripada rentak hidup tanpa sempadan sedang di sini masih ramai yang buta huruf. Minda ini tertanya-tanya, apakah persiapan mereka menghadapi dunia yang pantas berubah ini?

Nota: Pertama kali tersiar dalam majalah Milenia Muslim keluaran Julai 2008.

Pelajar MSU di Kemboja

Sewaktu saya sedang membaca akhbar Utusan Melayu hari Sabtu 2 Ogos dalam Sisipan IPTA IPTS, terdapat artikel berkaitan pelajar Management and Science University (MSU) mengenai program khidmat masyarakat mereka di Kemboja.

Saya tertanya-tanya, mengapakah mereka pergi ke tempat yang sama seperti yang dilawati oleh Censerve pada tahun 2006 iaitu di Kg. Cham?

Tetapi saya tak kisah sebab benda baik, tolong masyarakat juga. Semoga semua pelajar dari pelbagai universiti dapat didedahkan dengan kerja-kerja kemasyarakatan dan kebajikan.

MSU berbakti di Kemboja

Oleh Ruhaiza Rusmin

SUKAR mempercayai dalam era globalisasi, masih ada masyarakat terpencil dan tertinggal dalam arus pembangunan serta terpaksa bergelut dengan kesengsaraan.

Itulah pengalaman 30 pensyarah dan pelajar Ijazah Sarjana Muda Hospitaliti dan Pelancongan, Fakulti Pengurusan Perniagaan dan Pengajian Profesional Management and Science University (MSU) di Kompong Cham, Kemboja, baru- baru ini.

Siri khidmat masyarakat itu adalah kesinambungan beberapa siri anjuran sebelum ini oleh MSU dalam merealisasikan objektif kemanusiaan dan kemasyarakatan sejagat.

Ketua Jabatan Hospitaliti dan Pelancongan MSU, Arfah Kassim, berkata program berkenaan bertujuan membuka minda dan mendekatkan golongan mahasiswa dengan masyarakat.

Untuk membaca artikel penuh, klik pautan di bawah.
MSU berbakti di Kemboja – Harian Metro

Keratan akhbar Berita Harian – 21 Julai 2008

Selipar Durian

Inilah antara perkara pelik yang dijumpai pasukan UPSI yang menjalankan misi ke Kemboja pada hujung bulan Mei baru-baru ini.

Kosmo 3 Jun 08

Hari ini, akhbar Kosmo telah menyiarkan rencana mengenai program pelajar dan pegawai UIA di Kemboja. Laporan itu ditulis oleh Bro. Mohd Roslan Md Isa.

Untuk maklumat lanjut, boleh baca secara online di http://www.kosmo.com.my

Pilih Kasih

Seorang pakcik sukarelawan yang sudah beberapa hari membantu kami menguruskan orang ramai di klinik khatan, melambai-lambai untuk menarik perhatian kami. Di sisinya ada seorang budak, berpakaian siap untuk dikhatankan, dan pakcik itu mengacungkan jari telunjuknya ke dadanya dan beberapa aksi gerak tangan bahasa isyarat. Apa yang kami faham pada waktu itu adalah “Ini anak saya, ingin berkhatan juga, nak cepat balik, rumah jauh.”

Nombor giliran anak itu masih jauh lagi. Kalau tak dilayan, takut dikatakan tak kenang budi, kerana dia sudah berhari-hari bersama-sama dengan kami, secara sukarela. Kalau diberi giliran khatan seterusnya kepadanya, ibu-ibu dan bapa-bapa kepada anak-anak yang lain, yang menunggu sejak dari pagi akan berasa terkilan. Tidak adil. Mereka juga datang dari jauh.

“Pelik. Sudah berhari-hari dia di sini. Kenapa baru hari ni dia bawa anaknya?” Kadir meluahkan rasa peliknya.

“Mungkin dia ambil masa untuk memujuk anaknya,” (atau lebih kurang beginilah) kata Nawwar.

Pada waktu itu, Kadir, Nawwar dan aku menguruskan klinik A yang sebenarnya merupakan bangsal tempat wuduk Masjid Diauddin. Dr Dinon dan Dr Ariff selaku the mudims, tak kisah tentang giliran, Yang penting, anak-anak perlu masuk seorang demi seorang. Perlu teratur. Tak ingin jadi seperti di Masjid Muhammadi.

Pakcik sukarelawan itu masih memandang kami dengan mata penuh mengharap. Kami makin serba salah. Kami buntu. Kadir sebagai ketua kumpulan akhirnya bersuara, “Bagi sajalah. Lagipun dia dah banyak tolong kita.”

Maka giliran seterusnya diberikan kepada anak tersebut. Seorang bapa yang sedang menunggu, yang tadinya kelihatan girang menenangkan anaknya kelihatan terkilan. Sepatutnya itu giliran anaknya. Dia memandang kami, tersenyum, tapi pahit.

Aku dah tak sanggup lagi berada di situ. Tak sanggup dilihat sebegitu. Maka aku ke klinik B, yang diuruskan oleh abang amir dan doktor-doktor dari Phnom penh. Klinik B merupakan sebuah bilik darjah yang didirikan oleh MALBAT Malaysia semasa bertugas menjaga keamanan semasa kekacauan di Kemboja beberapa tahun lalu.

Klinik B

Seketika kemudian, aku kembali semula ke klinik A. Nawwar dan Kadir memandangku. Aku melihat di hujung kepada anak yang tadi, yang kini sedang di‘proses’ oleh Dr Dinon. Seorang lelaki lain berdiri di situ. Pakcik sukarelawan masih tetap di luar klinik. Aduuuh Rupa-rupanya anak itu bukan anak pakcik sukarelawan tersebut, bahkan hanya anak kepada saudaranya.

Kami yang sejak awalnya menentang keras amalan nepotisme dan kronisme, pada hampir tengarhari tersebut, melakukannya. Shahdu.

Ternyata, masalah komunikasi merupakan antara masalah utama kami, dan kami mengamalkan dasar pilih kasih. Jangan tak tahu. hehe

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.